Pemaju aplikasi Pokemon Go, Niantic telah menyatakan bahawa aplikasi Pokemon Go telah dimuat turun sebanyak 650 juta kali. Fakta ini dikongsi oleh Ketua Teknologi Niantic sendiri iaitu Phil Keslin pada ‘Google Developer Day’ di GDC 2017.
Pokemon Go telah berjaya memperolehi 500 juta muat turun dalam masa 2 bulan sahaja selepas dilancarkan. Walaubagaimanapun, baki 150 juta muat turun hanya diperolehi selepas tempoh 2 bulan terawal hingga February 2017.
Menurut laporan App Annie terkini, Pokemon Go adalah perisian mudah alih dengan kadar muat turun tertinggi pada tahun 2016 dan berada pada tangga ke-3 tertinggi selepas Mobile Strike dan Clash of Clans bagi perbelanjaan oleh pengguna aplikasi.
Walau berakhir di tempat ke-3, Pokemon Go masih belum dianggap sebagai kegagalan kerana telah berjaya meyakinkan para pengguna aplikasinya untuk membelanjakan USD 950 juta secara keseluruhan bagi tahun berakhir 2016.