Perkhabaran berkenaan generasi baharu GPU Radeon dari AMD berkod Polaris semakin banyak didengari akhir-akhir ini. Terbaru, sumber dari HardwareBattle melaporkan bahawa siri Radeon R9 4xx akan dilancarkan Jun ini bermula dengan R9 490 dan 490X
Menurut sumber, R9 490X adalah berasaskan GPU Polaris 10 seperti yang pernah didemonstrasi pada CES 2016 Januari lalu. Ini bermakna R9 490X bukan lagi penjenamaan semula arkitektur lama seperti yang dilakukan pada R9 290X dan 390X yang diasaskan daripada Radeon 7970 sebaliknya menggunakan arkitektur Polaris baharu yang lebih berkuasa dan efisien.
Buat masa ini, R9 490 dan 490x dikatakan adalah pesaing rapat bagi Nvidia GTX 1070 dan 1080 (Pascal) yang juga masih belum diumumkan secara rasmi oleh Nvidia. Dengan Polaris, AMD bakal menawarkan prestasi dan pengunaan tenaga lebih baik berbanding arkitektur terdahulu dan dari saingan Nvidia.
Dengan Computex 2016 yang bakal menjelang tidak lama lagi, tidak mustahil AMD dan Nvidia bakal mengumumkan GPU arkitektur baharu mereka dalam perlumbaan menarik minat pengguna khususnya gamers dan menambah bahagian pasaran yang lebih baik.