Dapatkan Assassin’s Creed Syndicate dari GameHyperMart.com
Setelah kegagalan Assassin’s Creed Unity, kini Ubisoft melancarkan sebuah lagi game baharu dari siri konflik antara Templar dan Assassin, iaitu Assassin’s Creed Syndicate. Namun adakah ianya memberi impak yang besar terhadap peminat atau masih lagi dengan bug dan kebanyakan masalah seperti siri yang lepas? Jom ikuti artikel ini hanya di GamerMalaya.my.
Pengenalan
Bertempat di kota London pada era industrialis (Tahun 1898) yang amat sibuk sekaligus memberikan konsep yang amat menarik bagi siri Assassin’s Creed. Dua beradik Jacob dan Evie Frye bertempur untuk menewaskan Crawford Starrick sebagai musuh utama didalam game ini. Beliau adalah seorang Templar yang kini menguasai kota London ingin mencapai impiannya untuk menguasai dunia. Banyak konsep dan suasana baharu yang diperkenalkan, seperti kereta kuda, kereta api, corong asap yang tinggi dan banyak lagi.
Dua watak protagonist diberikan kepada pemain dengan perbezaan karakter iaitu adik beradik kembar Jacob dan Evie Frye. Kedua-dua karakter ini mempunyai keunikan masing-masing.
Evie, mempunyai perwatakan Assassin’s yang klasik yang sukakan pembunuhan secara senyap, menyelinap dalam tempat musuh dengan pergerakan yang lebih pantas. Manakala Jacob pula adalah yang lebih sukakan pergaduhan ala-gangster dengan kuasa perlawanan yang lebih kuat berbanding Evie. Beliau juga adalah seorang watak yang agak lawak dengan impian The Crooks beliau. Maka ini memberikan sebuah lagi keunikan terhadap siri Assassin’s Creed kali ini berbanding dengan yang sebelumnya.
Grafik & Suara
Usah risau, kualiti dan prestasi grafik Syndicate jauh lebih baik berbanding dengan Unity. Walaupun banyak pengurangan dibuat seperti jumlah bilangan orang awam di atas jalan dan suasana dalam bangunan berbanding dengan Unity, namun ianya banyak membantu dengan prestasi gaming bersama Syndicate. Mengikut dari pengalaman kami, kebanyakannya adalah kekal solid 30fps untuk platform PS4.
Berikut adalah video sebab utama mengapa prestasi Syndicate lebih lancar daripada Unity.
Kesan bunyi juga bertambah baik dari Unity. Kesan bunyi yang jelas khususnya semasa perlawanan, amat memuaskan kepada pemain. Kesan bunyi latar belakang juga amatlah cemerlang seperti bunyi-bunyi dari keretapi, mesin-mesin, dan juga kesibukan kapal-kapal di Sungai Thames sekaligus mencerminkan zaman industrialis yang ditekankan untuk siri Assassin’s Creed kali ini.
Kesan bunyi lagu juga amatlah baik. Pelbagai jenis lagu yang dimainkan mengikut kepada suasana. Sebagai contoh, pabila pemain didalam suasana perlawanan, lagu secara tiba-tiba ditukar untuk mengikut suasana.
Pengalaman Bermain (Gameplay)
Banyak penambahan dibuat untuk gameplay bersama Syndicate ini. Kawalan karakter untuk perlawanan dan parkour ditambah baik dengan pergerakan lebih lancar. Namun masih lagi beberapa respons yang agak lembab semasa memanjat bangunan dan semasa perlawanan.
Rope Launcher / Zipline kini adalah sebuah pengalaman baharu buat pemain. Diperkatakan Kota London ini hampir 2 kali lebih besar daripada saiz peta Unity, maka perjalanan antara satu tempat ke tempat lain perlulah lebih pantas. Maka, Rope Launcher hadir sebagai salah satu peranti buat pemain untuk pergerakan yang lebih pantas. Namun atas sebab kemudahan yang diberikan kepada pemain sekaligus ianya mengurangkan penggunaan sistem parkour yang dimana salah satu pengalaman bermain unik Assassin’s Creed.
Kini anda mempunyai gang atau dikenali sebagai The Crooks yang dimana anda boleh membawa mereka ke misi atau medan pertempuran untuk mengambil kawalan kepada sesetengah kawasan di kota London ini. Sistem perlawanan pula banyak telah dibaik pulih berbanding dari siri yang sebelumnya. Amaran dari musuh untuk counter-attack amatlah efektif sekali berbanding dengan siri sebelumnya.
Misi utama dan misi sampingan juga diberikan. Arahan dan tutorial yang diberikan agak jelas dan mudah difahami. Pelbagai misi sampingan diberikan, daripada misi kebiasaan dari siri Assassin’s sehingga misi menawan gang yang mengawal sesetengah kawasan untuk ditakluki. Namun salah satu yang kami kagum dan suka adalah dimana sesetengah misi pemain boleh pilih pelbagai pilihan untuk menyelesaikan misi tersebut. Konsep ini telah diperkenalkan semenjak Unity dan seakan Crysis, namun penambahbaikan diberi sekaligus memberi keunikan kepada pemain.
Isi Kandungan
Pemain boleh naik taraf skill karakter mereka melalui sistem Skill Point. Sistem ini telah dibuat semula dan senang untuk difahami kepada pemain berbanding dari siri lepas. Pemain diberi mata XP kepada karakter untuk naik taraf skill mereka. Mata XP dikira secara sama kepada kedua-dua karakter, ini bermakna jikalau pemain bermain sebagai Jacob dan mendapat 1 skill point, Evie juga serta mendapat 1 skill point. Namun naik taraf skill adalah berdasarkan kepada karakter masing-masing.
Pelbagai item dan senjata juga diberikan mengikut kepada tahap level karakter. Ini bermakna untuk mendapat senjata baharu, pemain perlu selesaikan beberapa misi terlebih dahulu untuk menaik taraf level karakter, sekaligus dapat pakai senjata baharu. Beberapa senjata boleh dibeli melalui matawang yang diperolehi melalui misi manakala sesetengah senjata lain hendaklah perlu dibuat “crafting” terlebih dahulu.
Rumusan
Bagi kami, sudah semestinya banyak penambahbaikan dibuat dari Assassin’s Creed Unity yang agak mengecewakan. Penambahbaikan dari segi prestasi grafik, jalan cerita, dialog dan perwatakan juga pengalaman bermain amatlah memuaskan. Namun, masih lagi ada sedikit bug atau responsif kawalan yang agak lembab terutamanya semasa parkour atau semasa perlawanan.
Walaupun pengumuman DLC Jack The Ripper dan Season Pass yang menampakkan lagi dari pihak Ubisoft untuk mengaut lebih keuntungan dari pemain, namun isi kandungan untuk game ini semestinya memuaskan dan tidak merugikan kepada pemain semua.
Beli Assassin’s Creed Syndicate secara online melalui GameHyperMart.com