Permainan video moden “Portal” keluaran Valve dan komputer kuno Apple II keluaran Apple. Apa kaitannya?
Kita biasa dengar projek ‘remastering’ atau ‘porting’ permainan lama ke sistem baharu untuk gamers yang nostalgik tentang zaman mereka membesar. Tetapi, bagaimana pula dengan penukaran permainan baharu ke sistem lama?
Itulah yang telah dilakukan oleh seorang Assistant Professor dari jabatan kejuruteraan elektrik dan komputer di University of Maine, Amerika Syarikat bernama Vince Weaver. Beliau telah membuat semula permainan “Portal” untuk kegunaan komputer Apple II yang boleh dikatakan kuno pada abad ke-21 ini. Tetapi “Portal” buatan semula ini bukanlah yang sama seperti yang asal. Sebaliknya, ia ditukarkan kepada ‘platform-sidescroller’ 2D yang ringkas dan dibangunkan menggunakan Applesoft BASIC.
Walaupun telah ditukarkan kepada genre ‘platform sidescrolling’, elemen teras dalam “Portal” masih boleh didapati seperti mekanik portal, Portal Gun, sentry dan juga GLaDOS beserta jenaka keringnya. Jadi jika anda peminat tegar siri “Portal”, jangan ketinggalan untuk mendapatkan permainan ini.
Tiada Apple II? Jangan risau, ia boleh juga dimainkan menggunakan emulator atau emulator online. Anda boleh dapatkan permainan ini di laman web penciptanya di deater.net.