fbpx

Middle-earth: Shadow Of War – Reviu

Sekali pandang Middle-earth: Shadow Of Mordor nampak seperti sebuah lagi klon Assassin’s Creed. Tetapi Sistem Nemesis yang pertama kali dikemukakan dalam mana-mana game telah melonjak statusnya sebagai antara yang terbaik pada 2014- tahun yang suram di mana peralihan konsol generasi baru berlaku. Sekuel terbarunya, Middle-earth: Shadow Of War, sepatutnya mudah sahaja untuk jadi lebih baik daripada game sebelumnya.

Shadow Of War merupakan game yang agak bagus, cuma beberapa bulan sebelum keluarnya game tersebut terdapat pelbagai berita kurang enak- kontroversi DLC untuk mengabdikan seorang pembina yang baru meninggal dunia, cara pihak pembangun, Monolith, cuba mempertahankan sebab kenapa mereka mengubah beberapa fakta dalam siri Lord Of The Rings dan tidak dilupakan, isu loot box dan transaksi mikro. Semua ini telah memburukkan persepsi game ini.

Sangat sayang sekali, kerana Shadow Of War ternyata sebuah sekuel yang baik, cuma elemen paling baik dalam game ini kurang sinarnya disebabkan pertambahan ciri-ciri baru.

Mod foto dalam game ini agak baik, namun ia juga boleh menjelaskan bahagian grafik yang baik dan juga yang buruk

Grafik & Audio

Adakah Shadow Of War sebuah game yang lawa? Kadang-kadang jawapannya ya. Watak utama anda- gandingan Talion dan Celebrimbor– juga dikenali dengan gelaran Gravewalker atau The Bright Lord, memang diperincikan dengan baik sekali. Setiap pedang, pisau, dan perisai badan dipenuhi dengan corak dan perincian. Kawasan-kawasan di Mordor kali ini diperkembangkan, setiap satu mempunyai persikitaran tersendiri, bukan hanya kelam kelabu dan berdebu sahaja.

Maka tidak terkejut bila game ini terpaksa mengurangkan kualiti grafik dalam sesetengah aspek bagi mencapai 30fps yang stabil. Rumpunan jelas kelihatan mucul tiba pada jarak yang dekat manakala banyak animasi yang akan menembus bahagian badan. Tekstur kadangkala ada yang sangat kabur. Babak cut-scene semuanya pre-rendered menggunakan aset dalam permainan. Saya tetap merasa kagum, kerana enjin Firebird milik Monolith berjaya memastikan framerate yang stabil, walaupun dalam situasi yang penuh dengan makhluk orc.

Makhluk orc (dan juga troll), penduduk asli kawasan Mordor, terang sekali merupakan watak-watak paling utama dalam game ini. Setiap seorang mempunyai aneka rupa- pelbagai warna kulit, fesyen rambut, fesyen janggut dan banyak jenis suara latar. Kualiti suara latar mereka juga sangatlah bagus, anda pasti terkejut bila melihat barisan pelakon suara yang berkaliber banyak menyumbang dalam bab ini. Mereka juga bukan sekadar berbahasa Inggeris dengan slanga Cockney sahaja kali ini, pelbagai loghat lain juga diperdengarkan. Melihat reaksi yang kuat bila pemain-pemain lain terpaksa melakukan perkara-perkara yang kejam kepada kaum orc ini merupakan bukti jelas pihak Monolith berjaya menghidupkan watak-watak ini. Suara latar bagi watak-watak lain juga baik kualitinya.

Soundtrack bagi game ini adalah seperti yang disangka- orkestra yang suram dan sayu. Lagu tema puak-puak orc yang ada agak menyerlah, tetapi saya lebih suka kepada lagu yang bermain di menu. Muzik digunakan dengan baik pada babak-babak yang melibatkan penyerangan kubu, sangat membakar semangat bila mendengarnya buat beberapa kali yang pertama.

Talion mempunyai pelbagaig kemahiran untuk digunapakai dalam setiap situasi. Kita boleh lihat dia sedang bergayut sambil menghantar Celebrimbor untuk membunuh.

Gameplay

- Iklan -

Shadow Of War bemula sejurus sahaja selepas tamatnya kisah Shadow Of Mordor. Banyak aspek daripada siri Lord Of The Rings telah diubah suai bagi membolehkan plot game ini berlangsung. Kali ini Talion dan Celebrimbor berjaya mencipta cincin kuasa (ring of power) baru dan ingin mengalahkan terus Sauron. Shelob, labah-labah gergasi yang muncul dalam siri filem kini menjelma sebagai seorang wanita. Gollum juga, entah sebab apa, muncul lagi.

Dari segi plot cerita, eloklah tidak dibincangkan kerana ianya tidak berapa menarik- namun saya harus akui pihak pembangun telahpun melakukan penyelidikan yang baik terhadap dunia Middle-earth. Ada sebabnya ada seorang sahaja manusia kulit hitam yang ditemui di Minas Ithil. Setiap satu kawasan di Mordor semuanya tepat dengan maklumat sedia ada.

Menu dalam game ini kadangkala nampak serabut. Namun ada juga beberapa ciri baik seperti tekan butang dengan lama untuk megesahkan sesetengah perbuatan.

Gameplay dalam Shadow Of War masih lagi menggunakan formula Assassin’s Creed dari segi pergerakan dan parkour manakala pertempuran mengikut stail Batman Arkham. Senang cerita, gameplay sangat baik. Memanjat sana-sini dan bergerak ke sana sini sangat seronok.

Penambahan baru untuk Shadow Of War adalah sistem RPG di mana anda perlu kumpulkan XP untuk naik level dan dapatkan skill point baru. Terdapat banyak skil asas dan juga pilihan-pilihan skil yang mengubah suai kemahiran asas. Namun begitu, cara semua maklumat ini dipaparkan terasa sedikit berterabur. Contohnya, terdapat satu barisan kemahiran yang dikelaskan sebagai berkait dengan jalan cerita, tetapi ada beberapa kemahiran yang tidak dimasukkan dalam barisan ini sedangkan ia hanya boleh dibuka dengan meneruskan jalan cerita. Keselurahan antaramuka dalam game ini tidaklah sepantas yang disangka. Pelik, kerana banyak masa akan digunakan untuk masuk keluar pelbagai menu.

Kekuatan game ini terletak pada Sistem Nemesis, yang mana setiap kawasan di Mordor mempunyai carta organisasi kapten-kapten orc, setiap seorang dicipta secara rawak. Mereka juga datang dalam aneka ragam dan rupa seperti nama, puak, kelas, sifat-sifat, perkara yang tidak disukai, perkara yang ditakuti, dan macam-macam lagi.

Kadangkala, ada sahaja orc yang kurang menyerlah muncul, tapi ini membuatkan kemunculan orc yang lebih unik dan pelik menjadi satu pengalaman yang menarik.

Senarai perangai kapten-kapten orc kali ini lebih menyeluruh, dan setiap daripada mereka beraneka rupa. Orc ini memang hanya ada sebiji mata sahaja yang masih elok.

Sistem Nemesis membolehkan orc-orc ini berkembang menjadi lebih kuat dengan peredaran masa setiap kali misi Nemesis dijalankan. Misi-misi ini tidaklah penting mana, sampai anda boleh sahaja sertai dan lihat dua orc bergaduh sesama sendiri sehingga salah satu terkorban. Kalau anda tidak sempat lakukan misi ini sebelum tempoh masanya, ianya akan terselesai sendiri. Ini memberikan gambaran yang dunia Mordor ini hidup dan berkembang sendiri.

Orc-orc ini juga akan ingat bibit-bibit pertemuan anda- cuba larikan diri banyak kali daripadanya dan lihatlah dia mencerca anda bila bertemu sekali lagi. Kalau anda mengerat anggota badan mereka, ada kebarangkalian mereka muncul kembali, kini dengan anggota palsu.

Bila anda berjaya selesai bahagian pembuka game ini, anda boleh rekrut mereka ke dalam bala tentera anda (asalkan level mereka searas dengan anda) takpun malukan mereka untuk biarkan mereka hidup dengan level yang lebih rendah. Ada kebarangkalian aksi ini boleh mencacatkan mental mereka. Para orc bertaraf kapten ini juga akan memberikan senjata atau pakaian baru, kualitinya bergantung kepada taraf level anda sedia ada dan juga kualiti orc tersebut (regular, rare, epic atau legendary).

Ronk sesmestinya ingat apa yang anda buat.

Perkara terbaik yang boleh berlaku dengan adanya Sistem Nemesis ini adalah ia boleh membangkitkan perasaan. Saya terkelu melihat empat orang orc terbaik saya membelot berjemaah oleh kerana serangan kubu sebelum ini telah meragut beberapa rakan mereka. Saya mengamuk bila ada seekor orc yang hampir mati berjaya kalahkan saya- saya balas balik dengan memalukan dia berulang-ulang kali, walaupun ini akan merosakkan mentalnya. Di luar konteks, aksi-aksi ini adalah sangat kejam, dan kadangkala akan membuatkan anda persoal sendiri nilai-nilai moraliti yang ada.

Namun sistem ini tidaklah sempurna. Terlalu banyak orc untuk diingat kali ini kerana Sistem Nemesis kali ini agak besar, jadi susah untuk ingat siapa yang mati, siapa yang baru naik pangkat dan sebgainya. Kalau saya tidak screenshot setiap kali orc-orc ini memperkenalkan diri dengan gaya tersendiri, memang susah untuk kenal dan ingat mereka.

- Iklan -

Tambahan pula, agak sukar sebenarnya untuk kekalkan orc yang sama dalam Sistem Nemesis. Dalam Shadow Of Mordor ada sahaja pertemuan dengan orc yang tidak berbaloi untuk dibunuh terus, malah terdapat insentif besar untuk biarkan mereka menjadi lebih kuat. Tetapi Shadow Of War tidak dicipta sedemikian. Sistem level mengehad anda untuk rekrut orc yang lebih tinggi level. Bila anda naik beberapa level dengan meneruskan cerita utama, kebanyakan orc anda akan kekal dengan level sebelum ini, membuatkan mereka tidak berguna lagi.

Memang ada cara untuk naikkan level seperti misi Nemesis dan acara berlaga tetapi XP yang diberi sangatlah tidak mencukupi dan memakan masa yang panjang. Cara lebih cepat adalah lagakan orc-orc anda sesama sendiri, biar yang hidup makin kuat dan yang mati beri ruang kepada orc baru yang level lebih tinggi naik pangkat.

Hal ini adalah untuk mengelak daripada “grinding“- naikkan level terlebih tinggi daripada sepatutnya- pada awal game. XP yang banyak dihadiahkan kepada misi dalam cerita utama. Anda harus teruskan cerita (dan habiskan juga misi-misi sampingan) untuk naikkan level sehingga had tertinggi pada penghujung game.

Anda boleh hantar orc untuk berlaga sehingga mati. Memilih orc yang mempunyai kemahiran yang sesuai sangat penting bagi memastikan dia menang (dan kekal hidup) untuk naikkan level.

Misi-misi utama terbahagi kepada beberapa cabang, berdasarkan watak-watak yang anda bertemu sepanjang cerita tersebut. Misi-misi utama ini agak bosan kerana terlalu terikat dengan objektif tertentu. Banyak game lain yang sudah lakukan perkara sama.

Ada beberapa babak yang agak bagus seperti cara misi-misi ini menggunakan Sistem Nemesis. Ada satu misi yang agak menarik di penghujung salah satu cabang cerita. Kalau anda rajin tangkap screenshot seperti saya dan ingat sedikit orc-orc yang telah anda jumpa, ianya sangat menarik. Tetapi adakalanya penggunaan Sistem Nemesis di sini kelihatan kekok. Ada satu misi yang perlukan saya rekrut tiga orc sebagai pengikut sebelum mulakannya… dan misi tersebut perlukan saya selamatkan ketiga-tiga mereka yang dalam tahanan secara tiba-tiba.

Tambahan paling besar dalam Shadow Of War tentulah adegan serangan kubu. Anda harus mengambil alih kuasa di empat kawasan di Mordor dengan menakluki kubu di setiap kawasan tersebut. Ini gunanya orc-orc yang direkrut, anda boleh pilih mereka untuk mengetuai bala tentera anda. Anda boleh terus menyerang kubu-kubu ini tanpa persiapan atau ambil masa untuk memudahkan serangan dengan mengalahkan orc-orc yang mengawal kubu tersebut dan gantikan mereka dengan orc-orc anda. Anda boleh ubahsuai kekuatan tentera anda untuk eksploit kelemahan pihak pertahanan.

Aksi dalam adegan-adegan ini sangat sibuk dan menggamitkan. Namun begitu, dalam keadaan orc terlalu padat sebegini akan membuatkan kawalan terasa sedikit susah.

Sistem Nemesis boleh buatkan anda terkejut. Saya baru keluar daripada menu untuk mencari seekor orc dan tiba-tiba orc yang saya cari tadi menyerang hendap dari belakang.

Kandungan & Jangka Hayat

- Iklan -

Peta Shadow Of War terbahagi kepada lima kawasan, setiap satu merupakan peta dunia terbuka asing yang lebih kecil daripada yang digambarkan. Walaupun saiz tidak luas, ianya agak tinggi dipenuhi bangunan atau tebing tinggi untuk dipanjat. Saiz peta yang sedemikian juga menyebabkan kandungan sisi seperti mengutip artifak lebih mudah diurus. Terdapadat juga bebrapa misi sampingan yang boleh dilakukan untuk menambahbaik senjata dan pakaian anda.

Game ini dipecahkan empat bahagian, bahagian prolog bakal memakan masa lebih kurang sepuluh jam. Bermulanya bahagian kedua baru game ini dibuka sepenuhnya, anda boleh mula merekrut orc dan melawat semua kawasan. Bahagian ini mengambil masa dalam lingkungan 20-30 jam permainan. Bahagian ketiga sangat pendek, dan juga penanda kepada “point of no return“. Bahagian terakhir adalah adegan endgame.

Dari segi kandungan ianya agak memuaskan- tambah markah lebih jika anda berpeluang berjumpa orc-orc yang pelik. Tapi bahagian endgame ini sangatlah bosan. Anda harus lakukan serbuan kubu berulang-ulang kali. Tiada lagi kandungan cerita atau misi baru sehinggalah ke penghujung. Bila sampai bahagian ini, barulah saya sedar kenapa wujudnya loot box dalam game ini.

(Anda boleh elak menggunakan loot box sehinggalah ke endgame tanpa masalah.)

Jika dilihat sebagai “games-as-a-service” sekalipun, ternyata bahagian game ini sangat teruk. Serangan kubu tidak cukup dinamik untuk membuatkannya menarik untuk dimainkan berulang-ulang kali. Untuk kekal terus kompetitif anda haru campakkan orc-orc level rendah untuk berlaga berulang kali atau terus beli orc baru melalui loot box. Bahagian ini memakan masa 20 jam untuk saya habiskan, dan saya berjaya menamatkan game ini dalam 60 jam.

Saya langsung tak rasa seronok pada bahagian endgame.

Loot box paling mahal memberi jaminan setiap barang yang keluar bertaraf legendary, membuatkan ia hilang sedikit elemen kerawakan, dan boleh juga dilihat sebagai transaksi mikro kerana ianya memerlukan matawang yang boleh dibeli dengan wang tunai.

Loot box sangatlah tidak berbaloi untuk dibeli menggunakan wang betul. Anda akan mengumpul mithril (wang dalam game) dengan kadar yang banyak sepanjang game, cukup untuk membeli beberapa loot box pada waktu yang diperlukan. Kandungan dalam setiap loot box akan ikut level semasa anda, jadi elok untuk simpan kesemuanya untuk digunakan pada endgame nanti. Persembahan sistem loot box juga hanyalah cukup syarat- sistem menu nampak terlalu serabut, telalu banyak waktu menunggu, tiada animasi pembukaan loot box (malah model 3D untuk loot box pun tiada) dan semua ini hanya boleh guna sekali pakai. Semua senjata atau orc yang telah digunapakai akan hilang bila anda mulakan save baru.

Injustice 2, sebuah game yang juga diterbitkan oleh Warner Bros berjaya menggunakan sistem loot box dengan baik. Sayang sekali buat Shadow Of War, kerana implementasi kali ini agak memalukan.

Tak malunya dia letak loot box dalam game yang tak patut ada loot box!

- Iklan -

Akhir Kata

Kesimpulannya, Shadow Of War merupakan sekuel yang mengembangkan semua aspek game sebelumnya. Cuma penambahan-penambahan baru seperti sistem RPG dan loot box telah menenggelamkan kekuatan sebenar siri game ini: Sistem Nemesis. Bila orc-orc beraneka rupa dan perangai ini terpakasa dilayan sebagai hanya nilai nombor, ia merosakkan potensi sistem ini untuk berkembang. Game ini agak membosakan bila ia cuba menjadi serius dengan cerita utamanya. Kerawakan dari Sistem Nemesis inilah yang memberikan keseronokan terbanyak.

Saya cukup suka 30 jam pertama permainan Shadow Of War, tetapi bahagian endgame tersebut sangat menghampakan. Ianya terlalu memakan masa, dan cara penggunaan loot box juga sangat mendukacitakan.

Namun begitu, masih ada harapan lagi. Penghujung game ini menunjukkan tamatnya kisah Talion sepenuhnya, bermakna game Monolith akan datang pastinya sesuatu yang baru. Sistem Nemesis masih lagi belum diterokai secara sepenuhnya dan harapanya game akan datang kita akan berkongsi lebih banyak kisah menarik daripada sistem ini, bukan meroyan tentang bahagian-bahagian buruk dalam game yang baik.


JANGAN KETINGGALAN!

Langgani TelegramDiscord atau Emel kami dan dapatkan berita permainan video terkini!

Popular Minggu Ini


JANGAN KETINGGALAN!

Langgani TelegramDiscord atau Emel kami dan dapatkan berita permainan video terkini!

Popular

- Iklan -