Jarang kita dengar pasangan suami isteri bertemu semasa bermain permainan video yang sama. Alvin Lau dan Alexis Loo, salah satu pasangan yang unik dari negara seberang, Singapura, bertemu semasa bermain Diablo III sehinggalah menjadi pasangan pengantin sah pada tahun lepas.

Semasa sesi bergambar untuk memori bersama, mereka sudah semestinya menggunakan tema Diablo dengan memakai cosplay mengikut karakter masing-masing. Alvin dengan mengenakan karakter Crusader, manakala pasangannya Alexis, Demon Hunter.

Mezame, selaku agensi fotografi manakala Neo Tokyo Project menyediakan pakaian (cosplay), mekap, prop dan sudah semestinya latar belakang yang menyerupai dunia Diablo III.
Namun atas kesukaran untuk mencari latar belakang era klasik Eropah didalam kota moden Singapura, maka mereka perlu memakai teknik skrin hijau untuk disunting.
