Di Computex 2016 yang berlangsung di Taipei, pengarah Radeon Technologies Group, Raja Koduri telah mengumumkan secara rasmi kad grafik mereka yang pertama untuk arkitektur Polaris iaitu Radeon RX 480.
Apa yang menarik berkenaan RX 480 adalah harga rasmi bermula USD199 (RM826 pada masa artikel ditulis). Ya, anda tidak silap baca, USD 199 sahaja untuk kad terbaik Polaris setakat ini.
Spesifikasi RX 480:
- Prestasi kiraan: 5.2 TFlops
- Transistor: 14nm FinFET
- CU (Compute Unit): 36 unit
- Teras shader: 2304 (kiraan 64 teras setiap CU, 36 x 64 = 2304)
- VRAM: 4GB/8GB GDDR5
- Jalur memori: 256 bit
- Penggunaan kuasa: 150W
- Pin-kuasa: 6-pin
- Harga permulaan: USD199 varian 4GB (RM829), USD 229 varian 8GB (RM950)
Berdasarkan spesifikasi, prestasi RX480 dijangka menghampiri R9 390/X dan GTX 970. Ini menunjukkan bahawa sasaran AMD bagi Polaris adalah prestasi setanding generasi terdahulu tetapi dengan harga lebih murah dan penggunaan tenaga lebih rendah untuk efisiensi lebih baik.
Selain itu, Raja Koduri juga menekankan keupayaan RX 480 dalam VR. Dengan prestasi setanding R9 390/X, RX480 sememangnya berkebolehan untuk memacu kandungan VR yang pada masa kini memerlukan PC spesifikasi tinggi. Dengan harga RX480 yang rendah, akses ke platform VR menjadi lebih mudah dan meluas untuk kegunaan awam.
Walaupun terdapat sesetengah yang kecewa dengan keputusan AMD untuk tidak mensasarkan pasaran “high-end” seperti Pascal GTX 1080 dan 1070 dari Nvidia, keputusan ini dilihat sebagai sesuatu yang menguntungkan buat gamers yang berbajet rendah dan inginkan prestasi 1080p yang memuaskan. Tidak semua PC gamers berdompet tebal dan ini akan lebih menarik minat pembina bajet untuk memilih AMD sebagai solusi mereka. Tambahan pula, AMD dari awal lagi telah menjelaskan bahawa sasaran Polaris adalah “midrange/mainstream” dan pasaran “high-end” akan diambil oleh platform Vega.
Dalam pada itu, CEO AMD Lisa Su juga mendedahkan julat harga bagi GPU Polaris adalah antara USD100 – USD 300. Mungkinkah akan ada Polaris 480X/490 pada masa akan datang untuk memenuhi harga USD300? Spekulasi menyatakan kemungkinan yang tinggi kerana jumlah teras shader RX 480 yang aneh sebanyak 2304 dan kemungkinan AMD mempunyai Polaris dengan teras penuh sebanyak 2560 untuk RX 480X/490. Kita tunggu dan lihat perancangan seterusnya dari AMD.
Buat gamers yang merancang pembelian GPU baharu, mana satu pilihan anda? Polaris atau Pascal?