Sebagai pengenalan, Nintendo Switch adalah sebuah konsol hibrid yang membolehkan pemain bermain dari segi tablet atau melalui tv dan akan mula dipasarkan pada 3hb Mac 2017.
Gamer’s Hideout, salah sebuah pengedar permainan video di Malaysia telah mengumumkan harga rasmi mereka untuk penjualan konsol Nintendo Switch baharu pada harga permulaan RM2,299 secara pra-beli.
Menariknya, mereka menjual konsol ini beserta dengan permainan video sekali secara konsep pakej “bundle” kepada pemain dan mendatangkan perasaan tidak puas hati dari pembeli.
Pakej yang berharga RM2,299 ini didatangkan dengan konsol, alat kawalan dan dua permainan iaitu Zelda dan 1-2 Switch. Manakala pakej yang memerlukan tambahan RM100 dijual untuk alat kawalan berwarna biru dan merah.
Nintendo pernah menyatakan, mereka akan mula menjual Switch tanpa konsep “bundle” pada harga USD $299 (anggaran RM1,400) untuk set konsol bersama alat kawalan. namun atas ketiadaan Nintendo di Malaysia, maka syarikat pengedar terpaksa membawanya secara terus ke Malaysia dan mula menjual kepada pembeli.
Konsep konsol hibrid ini amat menarik sehingga mendapat tempat di hati Hideo Kojima tentang impian pemain kini terjadi dengan kehadiran Switch.
Kami berharap dengan persaingan yang sihat, harga Switch ini akan menjadi lebih relevan pada masa akan datang.