fbpx

Sebaik Mana Anda Boleh Gaming Dengan Samsung Galaxy A32 5G?

Untuk beberapa tahun ini, terdapat banyak telefon pintar berfokuskan prestasi gaming terhebat untuk pengalaman terbaik dalam permainan mudah alih. Tetapi, prestasi terbaik juga mampu membuatkan kita menangis lantaran harga yang menipiskan poket.

Untuk golongan marhaen seperti kebanyakan kita ini, fon pintar kelas pertengahan sekitar RM1500 adalah lebih munasabah untuk dibeli.

Samsung Galaxy A32 5G yang akan diulas ini tidak direka khusus untuk gaming, tetapi sebagai pintu masuk termurah ke sistem rangkaian 5G dari pengilang Korea Selatan ini.

Perlukah anda dapatkannya untuk persediaan rangkaian 5G? Sebaik manakah prestasinya dalam gaming? Teruskan membaca ulasan ini untuk jawapannya.

Perkakasan

Peranti Galaxy A32 5G ini walaupun berbentuk blok tipikal fon pintar, masih tampil kemas. Hadir dengan empat warna berlainan: Awesome Black, Awesome Blue, Awesome Violet dan Awesome White, dan binaan plastik sepenuhnya. Skrin pula berbingkai tipis dan terdapat takuk V untuk kamera hadapan. 3 daripada 4 kamera belakang pula tersembul yang membuatkannya tidak berbaring rata apabila diletakkan, trend yang sama dipakai telefon baharu sekarang.

Akan tetapi, ciri paling ketara telefon ini adalah beratnya. Dilengkapi dengan bateri berkapasiti 5000 mAh, anda akan merasai sedikit beban ketika memegangnya. Harap anda tidak jatuhkan ke atas muka anda ketika pemakaian sambil berbaring.

Penamaan warna juga agak mengecewakan kerana tidak menggambarkan ke-Awesome-an. Warna cerah hanyalah warna pastel dan hitam pula tidak sepekat seperti dalam gambar promosi dan lebih kepada kelabu-biru gelap.

Namun begitu, Samsung yang dikenali dengan kualiti binaan yang cemerlang layak diberi pujian untuk peranti Galaxy A32 5G ini. Rasa premium dapat dirasai biarpun sekadar binaan plastik, mungkin bateri yang berat menyumbang besar kepada rasa kualiti.

- Iklan -

Berkenaan spesifikasi pula, sedikit kekecewaan daripada Samsung. Terdapat peranti Galaxy A32 biasa bercapaian 4G yang sedikit murah berbanding Galaxy A32 5G ini tetapi versi 4G mempunyai spesifikasi lebih baik dari pelbagai segi. Berikut adalah senarai spesifikasi A32 5G:

  • SOC Pemprosesan: 2 GHz Lapan Teras (Octa-core)
  • Paparan: Skrin TFT 6.4 inci 720×1600 (HD+)
  • Kamera: 48.0 MP + 8.0 MP + 5.0 MP + 2.0 MP
  • Memori: 8GB RAM
  • Storan: 128GB dalaman (106GB bolehguna), sokongan MicroSD sehingga 1TB (slot SIM-MicroSD hibrid)

Untuk nyahkotak dan pandang pertama, boleh merujuk ke artikel kami di sini “Pandang Pertama Samsung Galaxy A32 5G”.

Perisian

Galaxy A32 5G hadir dengan perisian Android 11 terbaharu berserta antaramuka Samsung One UI 3.1, dan interaksi peranti terasa responsif. Jika dibandingkan dengan telefon kelas pertengahan 3-4 tahun lalu, lompatan kuasa yang agak mengejutkan boleh dirasai. Memori (RAM) yang besar sebanyak 8GB juga sangat membantu dalam operasi pelbagai-tugas (multitask) dan tiada kelambatan semasa bertukar-tukar aplikasi.

Di samping aplikasi dari Google, Samsung juga ada pra-muat aplikasi persendirian mereka. Mungkin agak menjengkelkan sebahagian anda apabila perlu membuat akaun Samsung untuk menggunakan servis-servis ini tetapi anda boleh memilih untuk tidak menggunakan perisian Samsung dan kekal bahagia dengan servis dan akaun anda dari Google.

Tetapi ada servis yang mungkin berguna jika anda memilih untuk mendaftar akaun Samsung iaitu aplikasi Game Launcher dan Game Plugin yang menambahbaik pengalaman gaming anda. Game Launcher bukan sahaja membolehkan anda mengakses aplikasi permainan anda dari satu tempat, ia juga menjejak jumlah masa bermain anda.

Game Plugin pula sangat berguna dalam sesi permainan anda. Dengan satu sentuhan butang di menu, anda boleh mengakses pelbagai alatan seperti perakam paparan jika anda ingin merakam sesi gaming anda. Alatan lain yang boleh dipasang termasuk PerfZ yang menambahkan tempelan menyerupai Task Manager untuk mengetahui prestasi peranti anda.

Anda juga boleh menyesuaikan profil prestasi berlainan untuk setiap permainan. Jadi, ada permainan yang boleh disetkan untuk FPS tinggi dan ada yang boleh diset untuk kualiti grafik.

Kemampuan Gaming

Walaupun bukan dibina untuk gaming, Galaxy A32 5G ini masih berkemampuan untuk bermain pelbagai jenis permainan, rujuk kembali artikel pandang pertama kami untuk pencerahan.

Permainan AAA versi mudah alih juga disokong oleh peranti ini seperti Civilization VI yang boleh juga didapati di konsol dan PC. Namun begitu terdapat juga pengecualian, contohnya Grid Autosport versi mudah alih tidak disokong untuk Galaxy A32 5G.

- Iklan -

Sebagai peranti kelas pertengahan, jangan berharap prestasi gaming sebaik peranti mercu seperti Galaxy S21. Kebanyakan permainan terutama bergrafik tinggi hanya boleh dimainkan sekitar tetapan rendah atau sederhana.

Genshin Impact contohnya akan menetap secara lalai ke tetapan terendah dan Need for Speed No Limits terdapat masalah grafik kecil seperti kesalahan tekstur. Black Desert Mobile pula tampak kasar dan bergerigi walapun dengan tetapan resolusi paling tinggi.

Jika anda bermain permainan popular biasa seperti MOBA, battle royale, shooter dan gacha, anda tidak perlu risau kerana aplikasi sedemikian telah disesuaikan sangat baik untuk telefon pintar dan Galaxy A32 5G ini boleh mengendalikannya dengan mudah. Kebanyakan masa anda hanya akan berdepan masalah dengan aplikasi yang kurang popular.

Prestasi terbaik telefon ini adalah ketahanan baterinya. Dilengkapi dengan kapasiti 5000 mAh beserta paparan 720p bermaksud anda boleh terus bermain berjam-jam. Menonton video? Jauh lebih lama, berbelas jam.

Dengan sekali cas, ujian tontonan 24 Hours of Le Mans berterusan selama 18 jam dengan sekali cas. Sangat hampir dengan masa ketahanan dianggarkan Samsung.

Pengecasan pula tidak sepantas yang diharapkan. Hanya pengecasan pantas asas sebanyak 15W disediakan untuk Galaxy A32 5G dan boleh mengambil masa sebanyak 2 jam untuk pengecasan penuh dari 20%. Berita baiknya? Sambungan USB-C. Terima kasih Samsung.

Tetapi jika anda jenis yang gaming hanya untuk beberapa jam sehari dan inginkan lebihan bateri di penghujung hari, Galaxy A32 5G tidak mengecewakan.

Nilai

Sebagai sebuah telefon pintar, Samsung Galaxy A32 5G sepadan dengan harganya. Semua yang anda perlu dari telefon pintar ada disediakan. Kamera yang baik untuk kegunaan seharian, prestasi antaramuka dan aplikasi yang lancar, dan paparan cerah dengan kalibrasi warna mantap.

- Iklan -

Tambahan pula, apabila Malaysia mula mendapat capaian 5G, anda telah sedia dengan akses lebih pantas rangkaian terbaharu ini. Dengan harapan sambungan lebih pantas dan stabil untuk permainan pelbagai pemain dan menonton video siaran langsung tanpa sekatan.

Dengan harga tambahan RM100 berbanding Galaxy A32 versi 4G, anda mungkin ingat ia hanya untuk tambahan capaian 5G. Malangnya, perbezaan antara versi 4G dan 5G adalah lebih dari itu.

Galaxy A32 5G mempunyai paparan beresolusi lebih rendah (720p vs 1080p), jenis paparan lebih lemah (LCD vs AMOLED), kadar segar lebih rendah (60Hz vs 90Hz), takuk lebih besar (V vs U) dan kamera utama beresolusi lebih rendah (48MP vs 64MP).

Melihat kepada kelebihan A32 5G pula, anda akan memperoleh cip pemprosesan lebih berkuasa (Dimensity 720 vs Helios G80) dan capaian 5G. Tampak seperti sangat tidak berbaloi dengan perbezaan RM100. Tambahan pula, rangkaian 5G masih belum boleh didapati di Malaysia!

Tetapi, jika anda lihat di luar perbandingan ini, kekurangan A32 5G tidak lah sebesar mana. Sudah tentu, paparan 720p tidak setajam 1080p dan imej kelihatan sedikit bergerigi. Kekurangan lain pula tidak lah terlalu ketara dan tidak terlalu digusarkan dalam kegunaan seharian.

Di pasaran, terdapat pelbagai lagi telefon pintar yang lebih murah dan dicanang dengan kemampuan gaming lebih hebat. Galaxy A32 versi 4G juga tampak lebih berbaloi dengan spesifikasi lebih baik dalam beberapa aspek. Dan Galaxy A32 5G ini tidak berbaloi dibeli jika anda hendak menggunakannya sebagai telefon gaming.

Namun, sebagai telefon berkemampuan capaian 5G, dirasakan sepadan dengan harganya. Tambahan pula sudah cukup berkuasa untuk sesi gaming yang agak kasual. Sama ada perbezaan dalam kelajuan capaian internet apabila 5G hadir di Malaysia ini berbaloi atau tidak, kita hanya boleh tunggu dan lihat.

Penilaian Akhir

Samsung Galaxy A32 5G berkemampuan sebagai telefon kelas pertengahan, untuk pelbagai kegunaan termasuk gaming. Jika anda boleh berkompromi dengan kekurangannya, ia adalah telefon yang sangat berguna untuk kegunaan seharian, dan anda telah sedia dengan kemampuan 5G lebih pantas tanpa risau.

- Iklan -

Jika capaian 5G adalah matlamat anda, Samsung Galaxy 5G adalah titik permulaan yang sangat baik. Nak gaming sedikit? Tiada masalah.

Unit ulasan disediakan oleh Samsung Malaysia.

8

Samsung Galaxy A32 5G

Jika capaian 5G adalah matlamat anda, Samsung Galaxy 5G adalah titik permulaan yang sangat baik. Nak gaming sedikit? Tiada masalah.

  • Perkakasan 8.5
  • Perisian 9
  • Kemampuan Gaming 7.5
  • Nilai 7


JANGAN KETINGGALAN!

Langgani TelegramDiscord atau Emel kami dan dapatkan berita permainan video terkini!

JANGAN KETINGGALAN!

Langgani TelegramDiscord atau Emel kami dan dapatkan berita permainan video terkini!

- Iklan -