Menambah GPU desktop kepada komputer laptop adalah impian sejak dahulu lagi. Terdapat beberapa pengeluar yang menghasilkan adapter penambah GPU luar (external GPU/eGPU) kepada laptop tetapi sangat terhad dan tidak mempunyai sokongan rasmi dan kestabilan yang diperlukan.
Beberapa bulan lalu, beberapa pengeluar seperti MSI, Razer dan Alienware muncul dengan solusi eGPU mereka seperti MSI Gaming Dock, Razer Core dan Alienware Graphics Amplifier tetapi masih lagi terhad seperti menggunakan sambungan bukan standard, perlu mematikan komputer sebelum menambah eGPU dan tiada sokongan driver rasmi dari pembuat GPU seperti AMD dan Nvidia.
Tetapi berita gembira telah pun sampai buat teknologi ini, AMD baharu sahaja mengumumkan sokongan eGPU mereka dengan ciri XConnect khas untuk GPU keluaran AMD. XConnect akan didatangkan dalam pakej driver dan Radeon Software versi 16.3. Antara ciri XConnect ialah:
- sambungan terus (seamless) tanpa perlu mematikan komputer
- sokongan sambungan PCIe x4 (40Gbps) melalui Thunderbolt 3
Buat masa ini, XConnect hanya disokong untuk R9 Fury dan siri R9 3xx sahaja. Keperluan sistem lain termasuklah Windows 10 Build 10586 ke atas, Thunderbolt 3 40Gbps dan kemaskini BIOS ACPI. AMD telah pun bekerjasama dengan Razer untuk sokongan pertama XConnect pada Razer Core yang akan dipasarkan tidak lama lagi.
Nota penulis: AMD sentiasa menyokong standard baharu untuk kebaikan pengguna. Go AMD go! Lepas ni tak perlu desktop mahal2 nak gaming, kalau dah ada laptop tambah GPU ekstra je.