Epic Games membuat pengumuman rasmi mengenai enjin pembangunan permainan video baharu mereka, Unreal Engine 5 sebentar tadi. Demo teknikal yang bernama Lumen in the Land of Nanite, dipaparkan melalui video yang dimuat naik menunjukkan perincian tentang teknologi yang akan hadir kepada enjin baharu ini.
Menariknya, demo diatas dibuat melalui konsol platform PS5, versi kit pembangunan memaparkan kemampuan dan kebolehan konsol generasi baharu yang akan dipasarkan kelak.
Pengarah Teknikal Grafik, Brian Karis dan Pengarah Seni Projek Khas, Jerome Platteaux memberi penerangan mengenai teknologi yang dibawa seperti teknologi Lumen yang memberikan pencahayaan yang dinamik dengan menggunakan keadaan suasana dan pergerakan matahari.
Manakala teknologi Nanite akan menggambarkan butiran geometri yang teliti dan membawakan kualiti seolah permainan tersebut didalam filem atau video sinematik yang berkualiti tinggi.
Menurut kepada Epic, enjin ini akan mula tiba pada tahun 2021 dan beberapa fungsi tambahan akan diumumkan semasa pelancaran.