Sebuah acara ala-E3 atau Gamescom, GameStart 2015 adalah sebuah acara Konvensyen Gaming Premier di Asia Tenggara. 2015 adalah tahun kedua bagi GameStart dengan saiz pameran lebih besar dari sebelumnya, pihak penganjur yakin ianya akan memberi impak yang amat besar terhadap industri gaming khususnya di Asia Tenggara ini. Kami sempat turun ke kota Singapura, untuk mengalami acara ini. Adakah ianya sehebat yang diperkatakan? Berikut adalah rumusan penuh kami sepanjang 3 hari (13hb-15hb Nov) dari acara tersebut.
Durasi GameStart kali ini lebih lama daripada tahun lepas, 3 hari dibuka dengan pengasingan pengunjung. Sepertimana Jumaat (13hb) hanya dibuka kepada Media dan pengunjung VIP, manakala Sabtu (14hb) dan Ahad (15hb) dibuka kepada umum. Bertempat di Suntec City Convention Centre, saiz ruang pameran juga kini mempunyai 2 dewan berbanding dari tahun lepas sekaligus “Akan lebih banyak pameran dan aktiviti diadakan,” kata Elicia Lee, Pengarah GameStart Asia.
Dengan kehadiran lebih dari 17,000 pengunjung, pelbagai komuniti juga turut hadir untuk memeriahkan acara ini. Seperti Cosplayer, komuniti gaming untuk menonton eSports seperti acara Capcom Pro Tour Asia Tournament, perlawanan Rainbow Six Siege secara langsung di atas pentas dan banyak lagi.
Pameran – Booth
Selepas kami memasuki dewan Suntec ini, pameran pertama yang kami nampak adalah PlayStation yang besar dengan beberapa demo dan aktiviti diberikan. Demo seperti Street Fighter V, Star Wars Battlefront, Guitar Hero Live, Gravity Rush Remastered, Black Ops III, Bloodborne, Fallout 4 dan juga beberapa game indies yang lain. Buat julung kalinya, Sony menyediakan demo kepada umum untuk PlayStation VR di Asia Tenggara di acara GameStart ini. Pentas mini juga disediakan untuk menunjukkan beberapa acara seperti demo Uncharted 4, Just Dance dan juga Guitar Hero.
Pameran BANDAI NAMCO Entertainment Inc. juga tidak ketinggalan dengan beberapa demo untuk game yang akan datang dipasaran. Dari Dark Souls III, Just Cause 3, Naruto Shipudden Ultimate Ninja Storm 4 dan juga game Gundam Strike Vs.-Force yang akan diterjemahkan didalam Bahasa Inggeris.
Blizzard juga tidak ketinggalan untuk mempamerkan beberapa demo seperti Warcraft, StarCraft dan juga Hearthstone. Pelbagai pameran lain juga diberikan, seperti booth Warner Bros, Singapore GameBox (Pameran Game Indies dari Singapura), Capcom Pro Asia Tournament, Xtr3m3’s FIFA 16 Champions, Retro DNA (Membawakan beberapa game dan konsol klasik), dan banyak lagi. Salah satu yang menarik kepada pengunjung adalah Star Wars Battle Pod.
Acara di Atas Pentas
GameStart 2015 – Hari Pertama | Hari Kedua
Pelbagai acara yang hebat mengikut dari jadual yang dikeluarkan oleh pihak penganjur. Acara seperti pertandingan antara NUT (No Use Talking) dan HBS (HontoniBuaySai) untuk game Rainbow Six Siege yang menunjukkan pelbagai teknik dan kandungan baharu terhadap game ini.
Acara dari Bandai Namco juga menyaksikan dua game baharu akan datang seperti Naruto Ninja Storm 4 dan juga Gundam yang akan diterjemahkan didalam Bahasa Inggeris.
Avalanche Studios juga menyaksikan beberapa ciri penting yang akan hadir pada game baharu Just Cause 3. Street Fighter V juga tidak ketinggalan dengan persembahan yang mencuit hati oleh Yoshinori Ono dan Tomoaki Ayano dari Capcom.
Selain dari Rainbow Six Siege, pelbagai acara eSports lain juga dijalankan seperti StarCraft II Tournament, Hearthstone Showmatch dan juga Capcom Asia Tour Final. Rock Band 4 juga dipersembahkan dengan beberapa peserta bermain drum dan gitar secara langsung kepada pengunjung. Buat julung kalinya, Norihiko Hibino membuat persembahan muzik beliau di Singapura, seorang pemuzik yang terkenal dengan lagu seperti “Snake Eater” dari siri Metal Gear Solid.
Acara lain seperti pertandingan Cosplay juga diadakan di GameStart ini.
GameStart 2016?
Secara keseluruhannya, kami mempunyai pengalaman yang hebat dengan acara GameStart 2015 ini. Dengan penambahan aktiviti yang tak henti, pengunjung yang sungguh mesra, cosplayer yang amat unik dan kreatif, sudah semestinya GameStart adalah acara yang anda perlu hadir sebagai gamers.
GameStart 2016? Selaku rakan media, ikuti kami melalui Facebook atau GamerMalaya.my untuk maklumat lanjut pada masa akan datang.