Pada 5 April yang lalu di acara GTC 2016 (Graphics Technology Conference), Nvidia dengan rasminya melancarkan arkitektur GPU terbaharu mereka berkod ‘Pascal’ dengan pelancaran cip GP100. Tetapi, cip GP100 berkenaan hanya akan digunakan untuk kad grafik Tesla untuk pasaran pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC). Cip-cip Pascal versi pengguna masih lagi samar-samar tanpa pengumuman rasmi dari Nvidia.
Selain AMD yang bakal mengumumkan Polaris (baca artikel di sini), Nvidia juga dikhabarkan bakal mengumumkan Pascal versi pengguna pada Jun ini (sumber dari HardwareBattle). Ketiga-tiga GPU terbaharu ini juga akan menggunakan cip GP104 dengan 3 versi untuk menggantikan 3 GPU Maxwell iaitu:
- GP104-400 menggantikan GTX 980 Ti (GM200-310)
- GP104-200 menggantikan GTX 980 (GM204-400)
- GP104-150 menggantikan GTX 970 (GM204-200)
Penamaan rasmi bagi siri Pascal ini masih lagi menjadi misteri sama ada meneruskan penomboran dari GTX 9xx ke GTX 1xxx atau menggunakan penamaan terbaharu. Dengan AMD yang bakal mengumumkan Polaris, persaingan pasaran GPU bakal menjadi semakin sengit untuk menarik minat pelanggan khususnya gamer dan peminat perkakasan (hardware enthusiasts)
Nota penulis: AMD vs Nvidia, siapa yang akan menang tahun ini?