Semakin dekat, semakin berdebar peminat untuk merasakan sendiri konsol hibrid terbaru dari Nintendo, Switch yang akan mula dipasarkan pada 3hb Mac ini. Hari ini, Nintendo memuat naik video nyah kotak rasmi mereka melalui laman Youtube untuk Nintendo Switch.
Seperti yang kita lihat dari kebanyakan video nyah kotak, mereka membuka kotak dengan menunjukkan pakej yang diberi kepada pembeli semasa mereka menerima set kotak ini nanti.
Pakej yang diberikan adalah seperti konsol Switch itu sendiri dengan tablet, alat kawalan Joycon yang berwarna kelabu, dan beberapa kabel juga aksesori yang lain.
Semakin banyak video sudah dimuat naik oleh beberapa pihak mengenai konsol ini. Seperti Nippon Ichi Software, pemaju Disgaea memaparkan video tentang bunyi sentapan semasa alat kawalan Joycon dipasangkan pada Switch.
Nintendo Switch akan mula dipasarkan pada 3hb Mac ini dengan harga bermula dari RM2,299 di Malaysia.